Ahad, 9 November 2008

SALAM UNTUK SEMUA.

Assalamualaikum..Saudara saudari yang dirahmati Allah.. Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan kita pada saat ini, mudah-mudahan saat kali ini kita akan manfaatkan dengan sebaik-baiknya, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang jika tidak kerana Baginda, kita tidak akan menikmati Islam dan merasai kemanisan Iman.. Saudara saudari..pertama-tama saya mengucapkan syukran jazilan kpd teman-teman yg sudi melayari blog saya ini,hanya Allah sajalah yg berhak memberikan ganjaran yg sebaik-baiknya kpd abiskita semua,amin..jazakaumullah khairal jaza'.. Saudara-saudari..Rasanya telah terlalu lama saya tidak menupdate blog saya ini,ini disebabkan saya pada masa ini sedikit sibuk dengan hal pengajian saya pada ketika ini,saya kini berada di peringkat terakhir menghabiskan penulisan tesis saya di Universiti Jordan,tajuk yg saya tulis adalah berhubungkait dgn pelaburan Islam,memang saya merasakan tajuk ini begitu mencabar dan terlalu sukar untuk menjalankan kajian mengenainya,apatah lagi kajian saya ini adalah di fokuskan di salah sebuah institusi kewangan Islam di negara kita yg tercinta Negara Brunei Darussalam,memang tidak dinafikan membuat kajian pada sesebuah bank amat sedikit sulit,ini kerana banyak perkara yg terlalu menjadi rahsia dan sukar untuk kita mendalami selok belok perjalanan satu-satu pelaburan,apatah lagi ianya disandarkan kepada Islam. Semoga berkat doa abiskita semua,saya akan mampu menyelesaikan pengajian saya di sini dan seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya,amin.. Saudara-saudari..kita semua kena faham bahawa tidak semestinya apabila disebut Islam,maka ianya pasti dijalankan secara Islam,tetapi kita perlu meniliti bagaimana perjalanan atau cara ianya diuruskan atau ditadbir,apakah ianya betul-betul mempraktikan nilai Islam di dalamnya,mudah-mudahan institusi kewangan Islam di negara kita betul-betul menerapkan nilai-nilai Islam dlm aktiviti perlaburan dan perbankan institusi kewangan Islam,kerana tidak syak lagi apabila kita mengatakan ianya Islam,padahal ianya ada yg bertentangan dengan tuntutan Islam sendiri maka ianya pasti membawa kepada fitnah yang besar. Saudara-saudari yg dirahmati Allah..bercakap tentang fitnah ini,saya teringat kata-kata Rasulullah bahawa baginda adalah Nabi akhir zaman..memang sebenarnya kita ini berada betul-betul di akhir zaman,zaman yg penuh ujian,cobaan dan dugaan serta zaman yg tidak pernah kosong dan diam dari fitnah,sama ada dtgnya dari musuh Islam sndiri ataupun ianya dtg dari umat Islam sendiri yg kdg2 sanggup menyebarkan fitnah hanya semata-mata untuk melihat kejatuhan seseorang insan. Saudara-saudari yg dirahmati Allah..fitnah berkait langsung dgn sifat dengki,sifat yag dimiliki oleh iblis laknatullah 'alaihi,sifat yg telah mengahapuskan nilai-nilai kehambaan terpuji kpd Allah 'Azza wa jalla..Jadi,apa sebenarnya sifat dengki itu? izinkan saya bercakap sedikit mengenainya. Saudara-saudari yg saya hormati.. 1. HAKIKAT DENGKI : i. Dalam bahasa arab حسد ii. Ertinya kebencian ( kemarahan ) kerana perasaan cemburu atau iri hati yang amat sangat, niat jahat yang terpendam terhadap seseorang. iii. Dengki natijah atau buah hati daripada sifat dendam yang terkutuk dan tercela. iv. Dengki adalah sifat iblis. 2. JENIS-JENIS DENGKI : i. Bercita-cita supaya hilang terus ni’mat orang lain dan berpindah ni’mat itu kepadanya. ii. Bercita-cita supaya hilang terus ni’mat orang lain sekalipun ia tidak mendapatkannya. Kerana boleh jadi ia telah memiliki ni’mat itu atau tidak disukainya. iii. Tidak bercita-cita hilang ni’mat itu dari orang lain, tetapi dia tidak suka melihat orang itu lebih tinggi keadaan daripadanya atau lebih banyak mendapat bahagian daripadanya. iv. Tidak menginginkan ni’mat itu lenyap dari orang lain tetapi ia sendiri menginginkan agar mendapatkan keni’matan sebagaimana yang diperolehi orang tadi. Ini namanya Ghibtah غبطة atau dipanggil منافسة. 3. SEBAB-SEBAB TIMBULNYA DENGKI : i. Adanya rasa permusuhan dan kebencian. Ini sebab yang utama dan hebat. ii. Adanya perasaan tinggi, perasaan lebih mulia, perasaan diri lebih berharga kepada orang lain. iii. Suka atau gemar dengan kepimpinan, suka sekali kedudukkan yang teratas atau pangkat yang tertinggi. iv. Jiwa manusia itu buruk dan kikir untuk berbuat kebaikan pada sesama manusia. 4. PERKARA YANG LAHIR DARI SIFAT DENGKI, ANTARANYA : i. Fitnah. ii. Mengadu domba. iii. Khianat. iv. Berpura-pura ( Double standard ). v. Bersangka buruk. vi. Sanggup melakukan sihir. 5. CARA MENGUBATI DENGKI : i. Dengki adalah penyakit hati, maka ubatilah hati. ii. Sentiasa merasakan kekerdilan diri di hadapan Allah. iii. Sentiasa berniat / berhajat untuk berbuat kebaikkan. iv. Sentiasa bersyukur dengan ni’mat yang ada. v. Memperbanyakkan doa. Saudara-saudari yg dirahmati Allah,itulah serba sedikit info mengenai dengan sifat dengki,mudah-mudahan kita terhindar dari sifat terkeji ini,amin.. Saya tutup pertemuan kali ini dengan sepotong ayat Al-Quran dan juga kata-kata Imam Nawawi mengenai sifat dengki ini. إِنْ تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِنْ تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا – آل عمران ، 120 "Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak menyenangkan hati mereka sedang jikalau kamu semua mendapatkan keburukkan, maka mereka pun bergembira dengan sebab keburukkan itu". Kata Imam Nawawi : Bahawa apabila seorang tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri, maka ia adalah seorang PENDENGKI. Sekian dulu buat kali ini, semoga kita bertemu lagi, insya-Allah.. وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته..

Khamis, 2 Oktober 2008

AIDILFITRI

Saudara-saudari pembaca blog yang dirahmati Allah..
Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpahan rahmat, taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan kita pada hari ini, mudah-mudahan kehidupan kita pada hari ini akan lebih baik dari hari semalam, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum keluarga Baginda, para sahabat dan pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir hayat.

1 Syawal kini menjelang, hari yang dinantikan penuh kegembiraan, itulah Hari Raya Aidilfitri, ia merupakan salah satu hari kebesaran bagi umat Islam. Ia juga adalah hari ibadah, hari menandakan kesyukuran kita kepada Allah. Betapa Allah menciptakan Aidilfitri itu sebagai suatu ibadah dapat kita lihat atau kita ukur dengan pengharaman puasa, diperintahkan berbuka pada hari ini, ia adalah sebagai anugerah Allah kepada mereka yang telah berjaya melalui pelbagai ujian, dugaan dan rintangan di sepanjang bulan Ramadhan, bahkan inilah hari kemenangan bagi yang telah berjaya mengembalikan dirinya kepada fitrah, kembali meletakkan diri menjadi seorang manusia yang benar-benar menghambakan seluruh kehidupannya hanya kepada Allah. Namun saudara, apa yang menyedihkan kita ialah kekeliruan terhadap Aidilfitri di kalangan umat Islam sendiri, umat yang mengaku dan mempercayai bahawa Islamlah sebaik-baik pegangan hidup, cara hidup yang lengkap lagi sempurna, menyebabkan hari ibadah, hari membesarkan Allah sudah bertukar menjadi tradisi, hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka. Biasanya penganut ugama lain mengadakan pesta hari raya, bersuka ria dengan berbagai acara hiburan, makan minum dan majlis tari menari..apakah ini tidak ada di kalangan masyarakat kita dalam menyambut hari raya ini ? Kalau sebulan Ramadhan sanggup tinggalkan maksiat, hanya mahu buat baik, mahu ibadat tapi yang malangnya apabila masuk Syawal, kembali kepada perkara yang tidak sepatutnya dilakukan, kembali buat maksiat, sanggup langgar larangan agama, percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sudah seperti kebiasaan, bersalaman tidak lagi pandang siapa dengan bersalam, konon mahu nampak telus, nampak ikhlas dalam memohon maaf, mungkin saja dia dimaafkan tapi bagaimana dengan kesalahannya dengan Allah ? kita korbankan hubungan dengan Allah hanya semata-mata mahu jaga hati manusia..Ibubapa sanggup langkah hukum Allah, konon mahu dipanggil ibubapa sporting, biarkan anak daranya dibiarkan berdua-duaan dengan si teruna yang bukan mahramnya , dan begitulah sebaliknya dengan alasan hari raya, biarkan mereka beraya sendirian, jangan dikongkong, tak perlu bimbang sangat..sanggup biarkan mereka keluar rumah mendedahkan aurat..mungkin ibubapa beralasan semua ini kerana mereka sayang anak..tapi sayangnya! sayang sebegini tidak menepati sayang kerana Allah..

Tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid hari raya, walaupun diulang-ulang setiap kali tibanya hari raya..di mana kita dengan takbir, di mana kita dengan tahmid, di mana kita dengan tahlil..Andainya dapat dihayati ucapan takbir dan tahmid itu, pasti akan menimbulkan keinsafan, insaf pada segalanya..insaf akan kekerdilan diri..insaf akan kedhaifan diri..insaf akan kelemahan diri..tapi malangnya pada malam satu syawal yang sepatutnya dihiasi dengan membesarkan dan memuji Allah, dihiasi pula dengan letupan mercun, percikan bunga api, laungan lagu raya yang memenuhi setiap ruangan rumah kita..Allahu Akbar..anak-anak lebih mudah menghafal dan menyebut lirik-lirik lagu hari raya daripada lafaz-lafaz takbir, tahmid dan tahlil..apakah tidak cukup apa yang telah disediakan oleh Islam itu ? apakah sudah tidak lagi relevan dengan zaman yang dianggap moden ini ? tapi hairannya manusia hari ini kembali jahil, jahil pada adab agama, jahil dengan sunnah, jahil dengan akhlak agama, dan banyak lagi jenis kejahilan yang menimpa..kita sanggup import budaya di luar Islam untuk mengisikan hari kebesaran kita, ada menjadikan budaya asing itu sebagai pengisian yang wajib dalam hari kebesaran kita..sedih kita, ketawa si nashrani dan si yahudi melihat telatah umat Islam terutama remaja belia Islam kita, memang ketawa besar mereka sambil memerhati betapa mudah sangat umat Islam ini dipengaruhi..mulut kita kata tak mahu mereka, tak suka mereka tapi perbuatan mereka, tingkahlaku mereka, pakaian mereka, hiburan mereka diambil, dipuja, dibangga, dijulang..

Mari kita sama-sama renung mafhum hadith Rasulullah ini :

Dari Anas Radhiallahu ‘anhu katanya : Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah datang ke Madinah dan bagi mereka ( penduduk Madinah ) pada ketika itu ada dua hari kebesaran yang mereka selalu merayakan dan bermain-main ( berseronok ) di dalamnya. Maka Rasulullah pun bertanya : Apa dia dua hari ini ? Mereka pun berkata : ( Inilah dua hari ) yang kami telah bermain-main bersukaria di dalamnya sejak zaman jahiliyah lagi. Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pun bersabda : Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dengan dua hari yang lebih baik dari keduanya (dua hari yang mereka bermain-main di dalamnya) iaitu: Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah. Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud.

Teman-teman yang dirahmati Allah..

Marilah kita renung apa yang telah berlaku dalam masyarakat kita dalam menyambut hari raya kita, sudah banyak pencemaran berlaku di dalamnya, maka marilah kita bangkit, kita buang apa-apa yang bukan datang dari Agama kita..kita kembalikan semula cara Islam sebenarnya dalam membesarkan dan merayakan hari raya kita..kita perlu ingat, mencampur adukan fahaman-fahaman asing ke dalam ibadah akan menyebabkan runtuhnya aqidah..kalau ada orang kata, cara asing lebih baik, lebih bagus bahkan lebih sesuai diserapkan dalam sambutan perayaan, cara mereka makan, cara mereka minum, cara mereka berpakaian, cara mereka bergaul lebih nampak moden, nampak ada class, maka inilah yang boleh merosakkan aqidah.. saya ulangi lagi aidilfitri adalah hari ibadah..bukan hari pesta..bukan hari ria’..

Saya sebut di sini perkara-perkara yang sunat dilakukan bahkan yang sepatutnya ada pada hari raya kita :-

  1. Bertakbir. Iaitu bermula pada malam raya hinggalah selesai solat hari raya. Rasulullah bersabda yang mafhumnya : “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir (membesarkan Allah). Tapi sayangnya ketika itulah juga, kaum muslimin disibukkan dengan kerja-kerja dan persiapan terakhir menyambut raya.
  2. Mendirikan solat sunat hari raya : 7 takbir rakaat pertama dan 5 takbir pada rakaat kedua.
  3. Sebelum solat, disunatkan mandi dan memakai pakaian yang elok serta memakai bau-bauan yang harum. Pakaian elok tak semestinya baru, kalau mesti baru maka seolah-olah memaksa kita untuk mengadakannya. Tapi kalau seseorang itu mampu, bolehlah ia membeli yang baru tapi janganlah sampai membazir, bukankah membazir itu saudara mara syaitan ? kita mahu jadi saudara mara hamba Allah di hari raya ini, bukan nak jadi saudara mara syaitan..jadi kalau tidak mahu jadi saudara mara syaitan, maka lakukanlah apa yang patut, tinggalkan apa yang tak patut..saya yakin saudara pendengar yang dirahmati Allah sekalian ada dan tahu jawapannya.
  4. Hari raya aidilfitri, disunatkan makan terlebih dahulu sebelum solat sunat hari raya. Yang sunnahnya ialah makan dengan beberapa biji kurma.
  5. Semasa pergi dan pulang ke / dari mengerjakan solat sunat hari raya, disunatkan melalui jalan yang berlainan. Maksudnya, kalau kita ada dua jalan yang boleh menyampaikan kita tempat solat, jalan depan dan jalan belakang, maka masa pergi solat kita guna jalan depan, manakala untuk pulang dari solat gunakanlah jalan belakang..hikmahnya, antaranya supaya kita dapat bertemu lebih ramai lagi dengan saudara-saudara kita.
  6. Sunat berjalan kaki ke tempat solat melainkan ada sebab keuzuran.
  7. Sunat melewatkan sedikit solat aidilfitri supaya memberi peluang orang untuk mengeluarkan zakat fitrah.
  8. Ucapkanlah tahniah kepada saudara-saudara kita dengan sebab tibanya Hari Raya..

Saudara-saudari yang dirahmati Allah..

Hari Raya, inilah masa untuk kita mengeratkan lagi silaturrahim dengan saling bersalaman, bermaaf-maafan dan ziarah menziarahi..tapi jangan lupa untuk menjaga adab-adab dalam bersalaman dan menziarahi..Jangan sampai langgar hukum..ini kena hati-hati..mulakanlah bersalaman memohon keampunan seorang anak daripada kedua orang tua, isteri kepada suami dahulu..Di samping itu juga, dalam kita sibuk berziarah kepada saudara-saudara kita yang masih hidup, jangan lupa ziarahilah juga saudara-saudara kita yang telah pergi dulu sebelum kita, semoga mereka dicucuri rahmat..amin.

Teman-temanku yang saya hormati..

Sebelum saya mengakhiri pertemuan kali ini, saya mohon setinggi-tinggi kemaafan sekiranya di sepanjang tulisan saya di blog ini ada kesilapan-kesilapan yang tidak disedari dan perkara-perkara yang mungkin menyinggung perasaan yang tidak disenghajakan, niat saya hanyalah satu menyampaikan ilmu semata-mata mengharapkan keredhaan Allah jua.. Sehingga kita bertemu lagi di pertemuan akan datang, insya-Allah..

عيـد مبـارك ، مـن الـعائـديـن والـفـائـزيـن ، كـل عـام وانتـم بخـير..

والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته..

Rabu, 1 Oktober 2008

ZAKAT FITRAH

Saudara-saudari pembaca blog ini yang dirahmati Allah.. Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpahan rahmat, taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan kita pada hari ini, mudah-mudahan kehidupan kita pada hari ini akan lebih baik dari hari semalam, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum keluarga Baginda, para sahabat dan pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir hayat. Sekarang kita sudah berada di akhir Ramadhan dan sudah berada di ambang Syawal, bulan yang memang banyak orang menantikannya, tidak kiralah dia itu memang layak beraya atau tidak layak untuk beraya, kerana Aidilfitri adalah untuk orang yang mengecapi kemenangan melawan pelbagai ujian di bulan Ramadhan, maka kalau orang itu tumpas di bulan Ramadhan, bahkan tunjuk samseng lawan perintah Allah tidak mahu tunaikan puasa, padahal dia boleh berpuasa..maka menangkah dia ? layakkah dia ? malu rasanya.. Saudara-saudari temanku yang dirahmati Allah.. Berbalik kita kepada soal di akhir Ramadhan, memang sudah menjadi kelaziman tetapi kelaziman ini sebenarnya perlu diubah..apa dia ? Semua orang akan sibuk buat persiapan terakhir untuk hari raya, masjid bukan lagi destinasi selepas bersungkai, kini sudah bertukar destinasi..kedai, shopping komplek, terawih tak perlu lagi 20 rakaat, 8 pun okaylah, nanti tak sempat pergi kedai, atau tak terawih pun kira okaylah, sebab dia sunat bukan wajib ? saudara.. pergi kedai, tukar perabot wajibkah ? tabir kena tukar, baju kena setrika elok-elok, kueh kena pastikan semua ada, minuman kena ready dalam peti ais, sampul surat jangan lupa isinya..semua kena checklist..jangan ada yang tinggal, terlupa dibuat..Cuba kita cek balik senarai-senarai persiapan raya ? yakin tiada yang tertinggal ? bagaimana dengan fitrah ? sudah keluarkankah atau belum ? Inilah perkara kadang-kadang kebanyakkan orang terlepas pandang, sampai ada yang tak keluarkan langsung..kena hati-hati perkara ini, jangan kata ia tiada kaitan dengan puasa.. Cuba perhatikan mafhum sabda Rasulullah ini : Dari Ibnu Abbas Radhiallahu anhuma katanya, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menfardhukan zakat fitrah sebagai mensucikan orang yang berpuasa dari perkara sia-sia dan kerosakan serta untuk menjadi makanan kepada orang-orang miskin. Siapa yang mengeluarkannya sebelum solat A’id didirikan, maka ia adalah zakat fitrah yang diterima. Dan siapa yang mengeluarkannya selepas solat A’id didirikan, maka ia adalah dikira satu sedekah dari sedekah-sedekah biasa. Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah. Saudara-saudari yang dirahmati Allah.. Zakat Fitrah itu maksudnya zakat badan, yang bererti kadar yang tertentu dari bahan makanan asasi yang wajib dikeluarkan oleh setiap muslim ( beras jika di negara kita ) yang mencukupi syarat ekoran dari selesainya menjalani ibadah puasa atau sebaik sahaja jatuh matahari akhir Ramadhan. Hukum fitrah itu wajib, mengingkari hukum wajibnya fitrah, sudah tidak syak lagi terkeluar dari Islam, murtad jadinya..na’uzubillah..tapi kalau orang itu tidak mengingkari wajibnya zakat, Cuma saja dia tidak mahu keluarkan, maka ia tidaklah sampai jadi murtad, tapi dikira fasiq kerana meninggalkan perintah Allah. Sebenarnya fitrah itu diwajibkan sebaik saja jatuh matahari akhir Ramadhan ( malam raya ) tetapi walau bagaimanapun ia harus dikeluarkan di sepanjang bulan Ramadhan dan waktu yang sebaik-baiknya ialah pada pagi hari raya sebelum solat A’id, tetapi kena ingat jangan sampai terlewat hingga sampai lepas solat baru hendak keluarkan, maka ia tidak dikira fitrah tetapi hanya jadi sedekah biasa saja..ini kita kena jaga. Jadi kalau nak selamat, jangan tunggu malam raya baru hendak keluarkan fitrah, itu yang menyebabkan “traffic jam” di masjid sebab que panjang, last minute fitrah, kita boleh keluarkan fitrah awal-awal, selagi dalam bulan Ramadhan. Tapi ada juga yang menjadi keseronokan baginya jika ia keluarkan fitrah last minute, inilah ragam manusia.. Saya ingin menyentuh sedikit mengenai mengeluarkan fitrah ini. Kebanyakkan orang membayar fitrah di masjid-masjid, apa yang ingin saya sentuh ialah kadang-kadang kita ini jika sudah terlalu mahu cepat menyelesaikan pembayaran fitrah, kita lupa adab masuk masjid, apa dia ? Kita lupa solat tahiyatul masjid, padahal itu adab masuk masjid, memang itu hanya solat sunat, ertinya kalau buat dapat pahala, kalau tidak buat pun tidak apa , tiada berdosa pun, betul..tapi alangkah cantiknya kalau kita buat, kita solat dulu dua rakaat sunat tahiyatul masjid, lepas itu baru kita bayar fitrah..ertinya kita buat ibadah bonus di samping kita bayar fitrah, siapa untung ? kita juga yang untung..kan cantik tu ibadah dalam Islam. Seperkara lagi jangan lupa baca doa selepas bayar fitrah, doanya tidak panjang. Dalam kitab Al-Azkar, Imam Nawawi menyebutkan : Disunatkan bagi yang menyerahkan zakat, sedekah, nazar, kafarat atau yang seumpamanya membaca :

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ اَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

Maksudnya : “Wahai Tuhan kami terimalah ibadat daripada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. Rasanya cukup sampai di sini dulu yang dapat saya sampaikan dalam tulisan blog saya kali ini, mudahan ada manfaatnya. Semoga kita bertemu lagi, insya-Allah..

والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

MUHASABAH RAMADHAN.

Sidang pembaca blog yang dirahmati Allah.. Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpahan rahmat, taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan kita pada hari ini, mudah-mudahan kehidupan kita pada hari ini akan lebih baik dari hari semalam, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum keluarga Baginda, para sahabat dan pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir hayat.. Kita sudah berada di akhir-akhir Ramadhan, minggu terakhir Ramadhan, hari-hari kemuncak Ramadhan, bagus juga kita muhasabah diri, banyak perkara yang kita perlu teliti, perlu analisis, perlu kaji.. Apakah kita sudah betul-betul mengambil bahagian dalam Ramadhan ? Apakah kita semakin sayang pada Ramadhan ? apakah ibadah puasa yang kita lakukan betul-betul puasa yang dikehendaki oleh Syara’ ? apakah kita sudah berjaya mendidik nafsu kita ? menumpaskan syahwat kita ? apakah kita sudah terasa akan kemanisan Islam, kemanisan Iman dan kemanisan Ibadah ? apakah kita rasa kita sudah mencapai matlamat puasa ? iaitu Taqwa, apakah sudah kita rasai sinar cahaya Allah sudah betul-betul meresap ke lubuk hati kita ? apakah kita terasa bersemangat untuk menghidupkan sunnah-sunnah Nabi ? adakah sudah terpancar ciri-ciri taqwa itu ? inilah yang perlu kita muhasabah, muhasabah pada diri sendiri, bukan kita nilai orang lain, kita kritik diri kita sendiri, komplen diri kita sendiri, jangan hanya sibuk hendak kritik, komplen orang lain..kalau kita asyik kritik, komplen orang lain, bila pula masa kita hendak kritik dan komplen diri sendiri ? kalau kita tiada masa untuk kritik dan komplen atau analisis diri kita sendiri, bagaimana kita hendak buat perubahan ? kalau tiada perubahan, macamana hendak upgrade peribadi sendiri ? hendak naik pangkat di sisi Allah ? hendak naik darjat di sisi Allah ? tak kan kita tidak mahu naik pangkat, naik darjat di sisi Allah, sedangkan naik pangkat di sisi manusia, kita mahu sangat, kita berlumba-lumba, berebut-rebut nak pangkat bahkan sampai ada yang tamak pangkat, tamak kedudukkan..sanggup "tikam" dari belakang hanya kerana mahu pangkat, mahu kedudukkan bahkan sanggup dan tergamak sihir orang hanya kerana pangkat dan kedudukkan..tapi jangan risau tak kan ada orang sihir kita kalau kita mahu naik pangkat, naik darjat di sisi Allah.. Saudara-saudari yang dirahmati Allah.. Puasa itu tiga macam, puasa ruh ( jiwa ), itulah dia pendek angan-angan, kedua ; puasa akal, dia adalah menyalahi atau melawan nafsu syahwat, dan ketiga ; puasa anggota, dia adalah menahan dari makan, minum dan bersetubuh..Siapa yang hanya puasa dari makan dan minum, maka itu puasa adat, siapa yang puasa dari riba dan perkara yang haram dan berbuka dengan yang halal, maka puasanya adalah puasa adat dan ibadat, siapa yang puasa dari dosa dan maksiat, dan berbuka dengan ketaatan kepada Ar-Rahman, maka dia adalah orang yang berpuasa yang redha, siapa yang berpuasa dari keburukan dan berbuka dengan taubat, maka dia orang berpuasa yang taqwa, siapa yang berpuasa dari mengumpat dan berdusta, dan berbuka dengan tilawah Al-Quran, maka dia orang berpuasa yang bijak, siapa yang berpuasa dari mungkar dan cemburu, dan berbuka dengan berfikir dan mengambil iktibar, maka dia orang berpuasa yang bahagia, siapa yang berpuasa dari ria’ dan merendah-rendahkan orang lain, dan berbuka dengan tawadhu’ dan ikhlas, maka dia orang berpuasa yang selamat, siapa yang berpuasa dari menyalahi nafsu dan syahwat, dan berbuka dengan kesyukuran dan redha’, maka dia orang berpuasa yang beruntung, siapa yang berpuasa dari keburukan perbuatannya, dan berbuka dengan mendekatkan diri kerana Allah, maka dia orang berpuasa yang zuhud..saya petik nukilan tadi dari kitab بستان الواعظين ورياض السامعين karangan Ibnu Jauzi.. Saya tutup pertemuan kali ini dengan sepotong hadith Rasulullah, mafhumnya. “Berapa ramai orang berpuasa dia tidak memperolehi dari puasanya melainkan hanya lapar dan dahaga sahaja”.– Riwayat An-Nasaie dan Ibnu Majah. Sekian dulu buat kali ini, semoga kita bertemu lagi, insya-Allah..
والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

MINGGU TERAKHIR RAMADHAN.

Saudara-saudari pembaca blog yang dirahmati Allah.. Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpahan rahmat, taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan kita pada hari ini, mudah-mudahan kehidupan kita pada hari ini akan lebih baik dari hari semalam, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum keluarga Baginda, para sahabat dan pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir hayat.. Sekarang kita telah berada di minggu terakhir Ramadhan, tersentuh hati kita, sedih rasanya kerana Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya, begitu cepat masa itu berlalu..Kita tidak tahu, apakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang ? Semoga Allah memanjangkan usia kita semua dan mengizinkan kita agar bertemu lagi dengan bulan ini, amin ya rabbalalamin.. Siapa yang tidak sedih dengan Ramadhan yang bakal meninggalkan kita ? Apakah kita tidak sedih, tidak pilu dengan berakhirnya Ramadhan nanti, bulan penuh berkat, bulan yang maha agung, penghulu bagi semua bulan, bulan yang menjanjikan sejuta rahmat, sejuta keampunan, sejuta kebajikkan ? Apakah kita akan senyum gembira, bahkan mungkin saja ada hati-hati yang akan tertawa keseronokan kerana tiada lagi Ramadhan, perginya Ramadhan, bererti tiada lagi kewajipan puasa, tiada lagi puasa, bererti tiada lagi perjuangan melawan nafsu, tak perlu kongkong nafsu lagi, nafsu boleh dilepas sepuas-puasnya.. Saudara-saudari yang dirahmati Allah.. Kenapa kita patut sedih dengan berakhirnya Ramadhan nanti ? kenapa ? kerana apakah kita sudah memanfaatkan Ramadhan dengan sebaik-baiknya ? adakah kita telah benar-benar menghidupkan Ramadhan ? padahal Nabi ada menyebutkan “siapa yang mendirikan ( menghidupkan ) Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosanya yang telah lalu”.. Apakah kita telah menhidupkan Ramadhan dengan keimanan dan sepenuh pengharapan kepada Allah ? atau kita hanya menjalani Ramadhan dengan bersahaja, tidak merasa keseronokan beribadah di dalamnya ? Jika pada Ramadhan yang lepas, kita terasa kita masih cuai, masih ada ruang-ruang Ramadhan yang kita biarkan terlepas, kita tidak bersungguh-sungguh dengan penghayatan Ramadhan, maka kita pun berdoa agar kita ditemukan dengan Ramadhan yang akan datang, dan kita penuh berharap agar Ramadhan kali ini akan kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya, itu harapan kita, Alhamdulillah Allah memperkenankan permohonan kita itu, umur kita panjang lalu kita dapat lagi berada di Ramadhan kali ini, tapi Ramadhan kali ini, kita rasa masih cuai, masih belum puas rasanya menjalani hari-hari Ramadhan kali ini, lalu kita pasti berharap, betul-betul berharap agar kita diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang, namun ajal maut di tangan Allah, usia tiada dapat dijanjikan, mungkin kita sempat Ramadhan akan datang atau mungkin inilah Ramadhan terakhir buat kita, jadi jika inilah Ramadhan terakhir kita, maka kita terasa masih kerugian, tiada peluang lagi untuk memperbaiki prestasi Ramadhan kita..inilah saudara pendengar yang dirahmati Allah yang menyebabkan kita patut sedih, betul-betul sedih dengan perginya Ramadhan nanti, namun kita panjatkan satu doa, satu harapan, agar semua amalan yang kita lakukan akan diterima di sisi Allah jua, amin ya Allah, amin.. Saya sudahi tulisan buat kali ini dengan sepotong hadith Rasulullah, mafhumnya. “Bagi siapa yang mendapati Ramadhan maka dia tidak memperolehi keampunan, tiadalah keampunan baginya maka bilalah lagi ia akan mendapatkan keampunan itu ? – Riwayat Ath-Thabarani. Sekian dulu buat kali ini, semoga kita bertemu lagi, insya-Allah.
والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Sabtu, 13 September 2008

Dalam ingatan..penulis blog bergambar bersama-sama teman-teman yang datang dari tanahair berkunjung ke Jordan di musim panas 2007 selepas perlawanan liga persahabtan dengan penuntut-penuntut Malaysia dan Thailand.
Dalam Kenangan..Teman-teman dari Singapura yang menuntut di Mekkah al-Mukaramah, Mesir dan Jordan di Laut Mati, Jordan.
Penulis blog bergambar kenangan bersama teman-teman pelajar dari Singapura yang menuntut di Tanah Suci Mekah dan Mesir ketika kunjungan muhibbah mereka ke Amman, Jordan.
Penulis blog bergambar ramai bersama-sama dengan Tuan Yang Terutama Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Amman, Jordan dan Datin serta penuntut-penuntut Brunei Darussalam yang menuntut di Universiti Urduniyah, Amman Jordan, Universiti Aali-Bait, Jordan dan Universiti Yarmuk, Irbid Jordan.
Penulis blog bergambar ramai bersama dengan mahasiswa-mahasiswi Brunei Darussalam yang menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir ketika penulis blog berkunjung ke Kaherah, Mesir. p/s: Terima kasih banyak-banyak kepada pegawai atachi pelajaran kedutaan Brunei Darussalam di Kaherah Haji Aziman bin Haji Zaman kerana memberikan segala bentuk bantuan dan kemudahan ketika penulis blog berada di sana khususnya tempat tinggal sepanjang berada di sana, jazakumullah khairal jaza'.

TAQWA MATLAMAT PUASA.

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته..بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا وحبيبنا وشفيعنا ومولانا محمد وعلى أله وصحبه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين.

Saudara muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah..

Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpahan rahmat, taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan kita pada hari ini, mudah-mudahan pengisian Ramadhan kita pada hari ini akan lebih baik dari hari semalam, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, para sahabat dan pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman..

Agungnya Ramadhan kerana adanya kewajipan puasa, puasa wajib sebulan penuh hanya ada pada bulan Ramadhan, puasa itu adalah salah satu dari rukun Islam.. apa matlamat puasa ? kalau dilihat, puasa hanya semacam satu perkara biasa yang tiada specialnya, orang puasa atau tidak, sama-sama boleh hidup, sama-sama boleh kerja, sama-sama boleh raya, bahkan kadang-kadang dilihat puasa itu semacam menyusahkan, memudaratkan..itu kata kita, tanggapan makhluk manusia yang akalnya terlalu terbatas, yang tidak mampu menyelami banyak perkara, dan kadang-kadang hanya guna lojik akal semata-mata..saya ulangi lagi, apa matlamat puasa ?

Cuba kita perhatikan maksud Firman Allah ini dalam surah al-Baqarah :

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.

Kita diwajibkan puasa sebagaimana umat-umat sebelum ini, Cuma cara dan bulan sahaja yang berbeza, kita diperintahkan berpuasa agar kita jadi orang bertaqwa..ah ini dia matlamat yang betul dan benar, tanpa ada keraguan, sebab yang sebut ini, yang tetapkan matlamat ini ialah Khaliq, Allah ‘Azza Wa Jalla..

Taqwa, apa dia Taqwa ini ? apa maksud Taqwa ? Erti taqwa yang selalu digunakan ialah takut kepada Allah dengan melaksanakan segala yang wajib dan meninggalkan segala yang haram. Perlaksanaan ini tetap disempurnakan dengan tidak memilih waktu dan tempat, kerana taqwa menurut perintah Rasulullah, hendaklah dilakukan di mana saja seorang itu berada. Maksudnya..kalau depan orang dia solat, tidak ada orang pun ia tetap solat..kalau di dalam negeri ia tutup aurat pakai tudung, luar negeri pun ia tetap pakai tudung tutup aurat, tapi kalau dalam negeri saja pakai tudung tutup aurat, luar negeri ia dedah aurat tudung simpan laci saja, ini bukan taqwa..taqwa tidak pilih tempat dan masa..ada sesetengah pendapat membezakan antara taat dan taqwa, taat itu ialah amalan seseorang yang dapat dilihat dari aspek zahir, manakala taqwa ialah takut kepada Allah dengan cara mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala kejahatan, dan akar umbinya ialah di dalam hati..

Teman-teman yang dirahmati Allah..

Kenapa perlunya sifat taqwa ? apa faedah taqwa ? dapat hartakah ? Boleh jadi kayakah ? boleh cepat naik pangkatkah ?..apa faedah taqwa itu sebenarnya ? Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menegaskan faedah taqwa kepada Allah. Di antaranya, ada yang menyatakan untuk menyingkirkan diri dari api neraka, untuk menempatkannya dalam syurga, untuk memperbaiki amalan serta menghapuskan dosa, untuk mencapai kejayaan dan kemenangan, untuk mendapat peliharaan dan perlindungan dari seteru, untuk melepaskan diri dari kepayahan dan memperolehi rezeki yang halal. Saya bawakan sepotong ayat mengenai taqwa ini..Allah berfirman dalam Surah at-Thalaq, ayat 2 – 3 :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ﴿٣﴾

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar ( dari masalah ). Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya.”

Menurut keterangan ahli tafsir, ayat tersebut diturunkan berhubung dengan suatu peristiwa di mana seorang sahabat ‘Auf bin Malik Ashjai’e telah mengadu kepada Rasulullah mengenai hal anaknya yang telah ditawan musuh. Rasulullah menyuruh supaya ia bersabar dan ia pun bersabarlah. Tidak berapa lama kemudian, anaknya berjaya melarikan diri dari tangan musuh, dan terus pulang dengan membawa beberapa ekor kambing yang diambil dari kumpulan kambing kepunyaan musuh yang telah menawannya. Maka dengan kepulangan anaknya, gembiralah hatinya serta beruntung dengan mendapat rezeki yang dia tidak sangka-sangka datangnya. Inilah salah satu dari kelebihan atau faedah taqwa dengan sifat sabar.

Orang yang memiliki sifat taqwa, bukan saja dia tidak berani buat maksiat, tidak berani buat mungkar, tidak berani tinggalkan perintah-perintah Allah dan RasulNya, malah orang seperti ini baca atau dengar ayat-ayat Allah dibacakan, atau hadith-hadith Rasulullah dibacakan, dia sudah takut, takut sebenar-benar takut, kerana hati orang bertaqwa sentiasa suci, bersih, terbuka dan mudah menerima hidayah..taqwa ini dia tidak pilih siapa, tidak kira dia mudakah, dia tuakah, dia cantikkah, jika dia miliki sifat taqwa, maka dia memang hebat dan mulia..

Cuba kita amat-amati kisah yang saya bawakan ini..diceritakan ketika imam as-Syafi’e masih remaja, ketika beliau sedang belajar hadith kepada imam Sufyan bin Uyainah, tiba-tiba beliau pengsan lalu rebah ke tanah sebaik saja beliau mendengar sebuah hadith yang dibaca oleh imam Sufyan, hadith mengenai kisah azab di alam akhirat, lalu kedengaran seseorang berkata, “Apakah ibnu Idris sudah meninggal ?” nama sebenar imam as-Syafi’e ialah Muhammad bin Idris as-Syafi’e, lalu imam Sufyan menjawab, “Sekiranya ibnu Idris meninggal, maka meninggalah orang yang paling utama dimasanya”.

Imam As-Syafi’e pengsan apabila mendengar sebuah hadith yang dibaca oleh gurunya itu menunjukkan betapa suci dan bersihnya hati beliau kerana hati yang suci apabila mendengar berita ngeri di akhirat amatlah tersentuh dan boleh membawa kepada pengsan kerana sangat insaf dan terlalu takut..inilah orang bertaqwa, taqwa yang dimiliki ketika usia masih remaja..cuba kita periksa, kita cari apakah remaja kita sekarang ini pengsan kerana takut mendengar ayat-ayat Allah atau hadith-hadith Rasulullah tentang azab seksa neraka dibacakan ? saya berani jamin..tidak ada, tapi saya yakin ada yang pengsan sebab terlalu tergila-gilakan persembahan artis kesayangan mereka..sedih kita pada remaja semacam ini..

Inilah dia taqwa, sifat yang boleh dicapai dengan puasa, puasa yang sebenarnya, bukan calang-calang puasa, puasa main-main tidak akan dapat melahirkan sifat taqwa, kena hayati puasa, sempurnakan puasa, beradab dalam berpuasa, jauhi mungkar dalam berpuasa, barulah kita akan dapat mencapai matlamat berpuasa iaitu Taqwa..

Teman-teman dan saudara-saudaraku yang dirahmati Allah, seperti biasa saya tutup ceramah kali ini dengan bait-bait ini..

Wajib berpuasa di bulan Ramadhan..

Bulan menjanjikan selautan kebajikan..

Harta dan pangkat pasti kita tinggalkan..

Di hadapan Allah, hanya Taqwa menjadi ukuran.

Sekian dulu buat kali ini, semoga kita bertemu lagi, insya-Allah..

والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته..

RAMADHAN DAN PUASA.

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته..بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا وحبيبنا وشفيعنا ومولانا محمد وعلى أله وصحبه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين.

Para pembaca dan saudara teman-temanku yang dirahmati Allah..

Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpahan rahmat, taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan tahun ini, mudah-mudahan Ramadhan kali ini kita akan manfaatkan dengan sebaik-baiknya, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang jika tidak kerana Baginda, kita tidak akan menikmati ketinggian Islam dan merasai kemanisan Iman..

Jika Ramadhan tiba, kita perlu tahu mengenai dua perkara : Ramadhan itu sendiri dan Ibadah Puasa. Allah ciptakan bulan Ramadhan ada dengan kehebatannya, keistimewaannya, kelebihannya, sehinggakan bulan ini digelar Bulan Agung, Bulan Berkat..kenapa ? Saya bawakan sebuah mafhum hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi, Abu as-Syeikh dan ibnu Hibban dari Salman Radhiallahu ‘anhu, katanya : Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah berkhutbah kepada kami di hari terakhir bulan Sya’ban, Baginda bersabda : “Hai sekalian manusia ! Sesungguhnya kamu beroleh suatu bulan yang agung lagi diberkati, bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang mana Allah mewajibkan puasa, beribadah pada malamnya menjadi sunat. Sesiapa yang mendekatkan diri ( kepada Allah ) dengan melakukan amalan-amalan kebajikan ( yang bukan fardhu ), dia diberikan ganjaran seperti orang mengerjakan satu amalan fardhu di bulan lain, dan sesiapa melakukan satu amalan fardhu di dalamnya ( bulan Ramadhan ), dia diberikan ganjaran seperti orang yang menunaikan tujuh puluh ( 70 ) amalan fardhu di bulan lain. Ramadhan merupakan bulan kesabaran, dan kesabaran balasannya Syurga. Ramadhan merupakan bulan bantu-membantu ( bersimpati ), bulan yang menambahkan rezeki bagi orang beriman. Sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, amalannya itu membawa kepada keampunan bagi segala dosanya dan melepaskan dirinya daripada api neraka serta mendapat balasan pahala seperti pahala yang diperolehi oleh orang yang berpuasa tanpa ada sesuatu kekurangan”. Para sahabat bertanya : Ya Rasulullah ! tidakkah semua kami ini boleh memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka ? Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab : “Allah ‘Azza Wa Jalla memberi pahala ini kepada orang yang memberi sebiji kurma atau minuman air atau susu campuran kepada orang yang berpuasa untuk berbuka. Bulan ini permulaannya adalah membawa rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan penghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka..”

Saudara muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah..

Itulah antara sebab agungnya Ramadhan, berkatnya Ramadhan, hebatnya Ramadahan..ya ! betul-betul hebat.. سبحان الله

Hebat sebab ada Lailatul Qadar, hebat sebab ada puasa wajib, hebat sebab ada solat sunat terawih, hebat sebab kalau buat satu amalan kebajikan yang bukan fardhu, pahala macam buat satu amalan fardhu, kalau buat satu amalan fardhu, pahala macam buat 70 amalan fardhu, sebagai contoh, kalau baca al-Quran, satu huruf pahalanya di gandakan sampai 10 kali ganda, itu kalau baca di bulan lain, tapi kalau baca di bulan Ramadhan, maka statusnya sudah seperti satu amalan fardhu.. Ramadhan juga hebat sebab rezeki bertambah, para peniaga ada tambahan untung, orang yang menyungkaikan orang berpuasa dapat pahala seperti orang yang disungkaikannya itu..kalau seorang yang disungkaikannya, maka pahalanya macam pahala seorang itu, ditambah lagi pahala puasa dirinya sendiri, kalau dia sungkaikan 10 orang, 20 orang bahkan sampai beratus orang..bayangkan ganjaran yang bakal diperolehinya.. الله اكبر Sungkaikan orang bukan mesti banyak, bukan mesti beraneka jenis juadah, setakat kemampuan kita, hatta kata Nabi seteguk air atau susu dengan sebiji kurma, itupun dapat ganjaran, tanpa sedikit pun berkurang..

Itu tentang kelebihan Ramadhan, jadi siapa yang tidak boleh berpuasa sebab ada keuzuran syar’ie, jangan hilang semangat, jangan bad mood, jangan anggap tidak dapat kelebihan Ramadhan, sebab kita masih boleh mengambil bahagian dalam bulan Ramadhan dengan amalan-amalan lain yang dibolehkan, kalau si isteri umpamanya, tidak boleh baca al-Quran sebab datang bulan, dia masih boleh baca zikir-zikir, dan dia masih boleh dapat kebajikan dengan hanya melayan suami, menyediakan juadah berbuka atau bersahur untuk suami dan keluarga..bahkan banyak lagi yang boleh dilakukannya..

Saudara-saudara yang dirahmati Allah..

Sekarang kita lihat pula kelebihan puasa secara ringkas..Puasa adalah ibadah yang paling istimewa, puasa juga hebat..apa kehebatan puasa ? Cuba kita perhatikan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, saya bawakan mafhum hadith : Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam : “Segala amalan anak adam dilipat gandakan pahalanya itu sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda, telah berfirman Allah Ta’ala “kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKu dan Akulah yang akan membalasnya kepada orang yang melakukannya itu..”.

Itulah puasa, nampak kehebatannya..Puasa itu hanya Allah yang maha mengetahui akan balasannya, kerana Dia sahaja yang tahu mana satu hamba-hambaNya yang betul-betul berpuasa..itu hanya sebahagian kelebihan puasa yang saya bawakan, bahkan masih banyak lagi kelebihan-kelebihan puasa..Puasa pendinding api neraka, puasa penghapus dosa, doa org puasa mustajab, makbul, puasa ada pintu syurga khas untuknya, hanya orang berpuasa saja boleh masuk, yang lain tidak boleh masuk..bahkan bau mulut orang berpuasa pun diberi keistimewaan, lebih harum di sisi Allah dari haruman kasturi..sebab itu jangan malas puasa, jangan takut puasa, jangan main-main puasa, jangan bangga diri kalau tidak puasa, pelajari dan hayati apa itu sebenarnya puasa, apa yang boleh, apa yang tidak boleh, apa yang makruh, apa yang boleh menghilangkan pahala fadhilat puasa..ini semua kena belajar, wajib tahu semua ini, baru puasa boleh sempurna..

Hebat bukan Ramadhan dan ibadah puasa itu ? maha hebat, maha agung..jangan biarkan Ramadhan itu berlalu tanpa kita ambil kelebihannya..jalani ibadah puasa dengan sepenuh penghayatan, jangan biarkan hari-hari puasa yang kita lalui tapi kita gagal memiliki hikmah puasa itu..inilah yang Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh An-Nasai’e, dan Ibnu Majah : كم من صائم ليس له من صومه إلا الجوع والعطش Mafhumnya : “Berapa ramai orang berpuasa dia tidak memperolehi dari puasanya melainkan hanya lapar dan dahaga”.

Saya akhiri pertemuan untuk kali ini dengan bait-bait ini..

Ramadhan dan Puasa anugerah Ilahi penuh keistimewaan..

Manusia diuji, jangan pernah putus harapan..

Sempurnakan puasa, hidupkanlah Ramadhan..

Pasti tiada kerugian, kelak tidak dikecewakan.

Sekian dulu buat kali ini, semoga kita bertemu lagi, insya-Allah..

والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته.

Selasa, 19 Ogos 2008

RAMADHAN MENJELANG.

Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan tahun ini, mudah-mudahan Ramadhan kali ini kita akan manfaatkan dengan sebaik-baiknya, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.. Ramadhan kini tiba, bulan yang pasti kita nanti-nantikan kehadirannya. Ramadhan adalah tetamu agung umat Islam, bulan yang menjanjikan keampunan, rahmat, kebajikan dan keberkatan. Inilah bulan yang maha agung, maha hebat, terlalu istimewa bulan ini. Kita sememangnya mengalu-alukan kehadirannya, namun adakah kita betul-betul gembira, happy, seronok, terlalu iski dengan kemunculannya? Ada manusia yang betul-betul gembira, betul-betul telus kegembirannya kerana Ramadhan inilah peluang, kesempatan untuk melakukan seberapa banyak kebajikan, mengumpul seberapa banyak pahala, bahkan yang lebih utama dari itu ialah medan untuk berjuang menumpaskan nafsu syahwat, nafsu ammarah, kerana dia tahu mana musuh yang paling utama yang perlu, bahkan wajib untuk ditumpaskan, inilah perjuangan yang lebih besar, lebih utama, perjuangan menumpaskan hawa nafsu, sepertimana yang disebut oleh Junjungan besar kita, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Nabi dan Rasul yang kita kasihi جهادك هواك “Perjuanganmu adalah terhadap hawa nafsumu” maka Ramadhan adalah medan “Mujahadatunnafsi” kerana nafsu yang keji akan melahirkan sifat-sifat mazmumah, sifat keji, sifat jijik, sifat syaitan inilah penyebab yang menghalang manusia untuk menjadi betul-betul manusia, betul-betul hamba Allah, menjadi manusia yang mulia, manusia yang hebat, manusia istimewa, manusia "VIP" di sisi Allah ‘Azza Wa Jalla..itulah dia Insan Rabbani.. Kita contohi para sahabat Rasulullah, ikut sahabat, mereka ini para sahabat terlalu gembira, terlalu seronok menerima Ramadhan, terlalu excited dengan Ramadhan, mereka ucapkan tahniah antara satu sama lain kerana bertemu dengan Ramadhan, bersyukur panjang umur menyempati Ramadhan.. Ada juga manusia yang gembira, ya! mereka memang gembira, mereka juga seronok, iski dengan kehadiran Ramadhan bahkan nampak zahirnya, seolah-olah kegembiraanya mengatasi segala "level" kegembiraan..tapi sayang seribu kali sayang, mereka gembira bukan sebab kehebatan Ramdahan, bukan sebab keistimewaan Ramadhan, bukan sebab keberkatan Ramadhan, tapi kerana Ramadhan inilah medan untuk tonjol diri, tunjuk megah diri, tunjuk bangga diri dengan keduniaan, inilah peluang untuk menuruti hawa nafsu, mahu miliki serba serbi baru sehinggakan menyusahkan diri, tapi syakhshiahnya masih di tampuk lama, tiada perubahan, tidak "upgrade" kehambannya kepada Allah, orang seperti ini lebih ghairah mahu persiapkan diri untuk Raya, bukan persiapkan diri untuk isi Ramadhan, padahal Raya adalah hari kemenangan, hari kejayaan, namun belum pun berjuang, tapi sudah mengaku menang. Orang seperti ini pada hakikatnya mereka gembira bukan pada Ramadhan tapi ada udang di sebalik batu, lebih khuatir jika tiada baju yang baru, yang hebat, yang up to date, yang berkelipan, tapi tidak khuatir jika diri tidak baru, tidak hebat, tidak suci dengan akhlak-akhlak terpuji.. maka Ramadhan hanyalah sebagai batu loncatan untuk mereka, tidak ada Ramadhan pun tidak apa, atau boleh ada Ramadhan..tapi jangan lama sangat, tak perlu sebulan, cukuplah beberapa hari, mungkin sehari pun sudah terasa lama, padahal orang beriman terlalu mengimpikan kalau boleh biar sepanjang tahun Ramadhan, tiada Syawal pun tidak mengapa.. Ada juga manusia yang fobia, fobia dengan datangnya Ramadhan..ya ada, jangan kata tidak, ya ada, tidak mustahil, jika kita teliti betul-betul..kenapa mereka fobia, kenapa mereka sedih dengan datangnya Ramadhan? sebab..jika Ramadhan datang..lepak kedai kopi pagi-pagi, mimum-minum, makan-makan, borak-borak..kena stop!..jika bulan lain, waktu tengahari lepas waktu ofis "its a lunch time" isi perut semaunya..tapi datang Ramadhan, tengahari kena tahan perut, kadang-kadang lepas ofis kena "perintah" hadiri majlis ugama, seperti ceramah agama..kalau bukan Ramadhan, malam hari boleh berhibur, nyanyi-nyanyi, boleh nari-nari, boleh pergi ke tempat karaoke..tapi datangnya Ramadhan, kena pergi masjid untuk Tarawih, untuk tadarus baca al-Quran, itupun sebab ada arahan, ada tindakan hukuman jika tidak hadir, bukan kerana kerelaan, kesukaan untuk cari pahala..kita sedih orang seperti ini, kita bersempati dengan mereka, mereka jahil tentang Ramadhan, mereka kosong dengan hidayah..semoga Allah memberikan kita dan mereka cahaya hidayah, amin.. Teman dan sahabatku yang dirahmati Allah.. Kita perlu sucikan hati, luruskan niat, betulkan tujuan sambut Ramadhan, penghulu bagi semua bulan..sibukan diri dengan amalan kebajikan, undang Malaikat Rahmat masuk ke rumah kita dengan pengisian amalan membesarkan Allah, bukan undang malapetaka masuk ke rumah kita, apa dia malapetaka yang kita undang? Kita isi rumah kita dengan kebendaan yang kita anggap "wajib" ada, untuk persiapan Raya, padahal kita tidak mampu..tapi mahu juga tunjuk diri, tunjuk yang kita juga boleh, apa yang orang lain ada, apa yang jiran ada, kita pun juga ada, bahkan lagi hebat..berhutanglah jawabnya..apakah ini bukan malapetaka? ya ! pasti inilah malapetaka.. Sekian dulu buat kali ini, saya tutup nukilan ini dengan bait-bait ini.. Ramadhan bulan hebat, bulan yang berkat.. Jangan dicuai walaupun sesaat.. Tumpaskan nafsu, lawanlah syahwat.. Pasti dekat pada Illahi, Pemilik dunia dan akhirat.. Semoga kita bertemu lagi, insya-Allah
السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Isnin, 18 Ogos 2008

AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN..

Assalamualaikum..Bismillahirahmanirrahim, saya mulakan..saya panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua saya masih diberi kesempatan untuk terus bernafas di muka bumi, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang jika tidak kerana Baginda, kita tidak akan menikmati Islam dan merasai kemanisan Iman..Terima kasih kepada para teman-teman yang sudi berkunjung ke blog saya ini. Tujuan saya create blog ini tidak lain tidak bukan adalah sama-sama untuk mengongsikan ilmu sedikit yang saya miliki, semuanya dengan kurniaan Allah, mudah-mudahan dengan cara ini, saya dapat melabur saham dalam menyebarkan ilmu Islam, mudah-lmudahan niat saya akan diredhai Allah, semoga jua saya akan sentiasa diberikan idea-idea dan fikrah yang bernas dan mantap dari semasa ke semasa..Amin..Untuk kali ini, setakat inilah dulu rasanya sebagai pengenalan blog ini, insyaAllah saya akan mula menulis dalam blog ini apa-apa perkara yang munasabah dan bermanfaat untuk kita semua, saya akan cuba untuk mengupdate blog ini sekerap yang mungkin.Sampai kita berjumpa lagi..Saya doakan abiskita semua sentiasa dalam perlindungan Allah, amin..Assalamualaikum..