Sabtu, 13 September 2008

Dalam ingatan..penulis blog bergambar bersama-sama teman-teman yang datang dari tanahair berkunjung ke Jordan di musim panas 2007 selepas perlawanan liga persahabtan dengan penuntut-penuntut Malaysia dan Thailand.
Dalam Kenangan..Teman-teman dari Singapura yang menuntut di Mekkah al-Mukaramah, Mesir dan Jordan di Laut Mati, Jordan.
Penulis blog bergambar kenangan bersama teman-teman pelajar dari Singapura yang menuntut di Tanah Suci Mekah dan Mesir ketika kunjungan muhibbah mereka ke Amman, Jordan.
Penulis blog bergambar ramai bersama-sama dengan Tuan Yang Terutama Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Amman, Jordan dan Datin serta penuntut-penuntut Brunei Darussalam yang menuntut di Universiti Urduniyah, Amman Jordan, Universiti Aali-Bait, Jordan dan Universiti Yarmuk, Irbid Jordan.
Penulis blog bergambar ramai bersama dengan mahasiswa-mahasiswi Brunei Darussalam yang menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir ketika penulis blog berkunjung ke Kaherah, Mesir. p/s: Terima kasih banyak-banyak kepada pegawai atachi pelajaran kedutaan Brunei Darussalam di Kaherah Haji Aziman bin Haji Zaman kerana memberikan segala bentuk bantuan dan kemudahan ketika penulis blog berada di sana khususnya tempat tinggal sepanjang berada di sana, jazakumullah khairal jaza'.

TAQWA MATLAMAT PUASA.

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته..بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا وحبيبنا وشفيعنا ومولانا محمد وعلى أله وصحبه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين.

Saudara muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah..

Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpahan rahmat, taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan kita pada hari ini, mudah-mudahan pengisian Ramadhan kita pada hari ini akan lebih baik dari hari semalam, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, para sahabat dan pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman..

Agungnya Ramadhan kerana adanya kewajipan puasa, puasa wajib sebulan penuh hanya ada pada bulan Ramadhan, puasa itu adalah salah satu dari rukun Islam.. apa matlamat puasa ? kalau dilihat, puasa hanya semacam satu perkara biasa yang tiada specialnya, orang puasa atau tidak, sama-sama boleh hidup, sama-sama boleh kerja, sama-sama boleh raya, bahkan kadang-kadang dilihat puasa itu semacam menyusahkan, memudaratkan..itu kata kita, tanggapan makhluk manusia yang akalnya terlalu terbatas, yang tidak mampu menyelami banyak perkara, dan kadang-kadang hanya guna lojik akal semata-mata..saya ulangi lagi, apa matlamat puasa ?

Cuba kita perhatikan maksud Firman Allah ini dalam surah al-Baqarah :

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.

Kita diwajibkan puasa sebagaimana umat-umat sebelum ini, Cuma cara dan bulan sahaja yang berbeza, kita diperintahkan berpuasa agar kita jadi orang bertaqwa..ah ini dia matlamat yang betul dan benar, tanpa ada keraguan, sebab yang sebut ini, yang tetapkan matlamat ini ialah Khaliq, Allah ‘Azza Wa Jalla..

Taqwa, apa dia Taqwa ini ? apa maksud Taqwa ? Erti taqwa yang selalu digunakan ialah takut kepada Allah dengan melaksanakan segala yang wajib dan meninggalkan segala yang haram. Perlaksanaan ini tetap disempurnakan dengan tidak memilih waktu dan tempat, kerana taqwa menurut perintah Rasulullah, hendaklah dilakukan di mana saja seorang itu berada. Maksudnya..kalau depan orang dia solat, tidak ada orang pun ia tetap solat..kalau di dalam negeri ia tutup aurat pakai tudung, luar negeri pun ia tetap pakai tudung tutup aurat, tapi kalau dalam negeri saja pakai tudung tutup aurat, luar negeri ia dedah aurat tudung simpan laci saja, ini bukan taqwa..taqwa tidak pilih tempat dan masa..ada sesetengah pendapat membezakan antara taat dan taqwa, taat itu ialah amalan seseorang yang dapat dilihat dari aspek zahir, manakala taqwa ialah takut kepada Allah dengan cara mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala kejahatan, dan akar umbinya ialah di dalam hati..

Teman-teman yang dirahmati Allah..

Kenapa perlunya sifat taqwa ? apa faedah taqwa ? dapat hartakah ? Boleh jadi kayakah ? boleh cepat naik pangkatkah ?..apa faedah taqwa itu sebenarnya ? Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menegaskan faedah taqwa kepada Allah. Di antaranya, ada yang menyatakan untuk menyingkirkan diri dari api neraka, untuk menempatkannya dalam syurga, untuk memperbaiki amalan serta menghapuskan dosa, untuk mencapai kejayaan dan kemenangan, untuk mendapat peliharaan dan perlindungan dari seteru, untuk melepaskan diri dari kepayahan dan memperolehi rezeki yang halal. Saya bawakan sepotong ayat mengenai taqwa ini..Allah berfirman dalam Surah at-Thalaq, ayat 2 – 3 :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ﴿٣﴾

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar ( dari masalah ). Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya.”

Menurut keterangan ahli tafsir, ayat tersebut diturunkan berhubung dengan suatu peristiwa di mana seorang sahabat ‘Auf bin Malik Ashjai’e telah mengadu kepada Rasulullah mengenai hal anaknya yang telah ditawan musuh. Rasulullah menyuruh supaya ia bersabar dan ia pun bersabarlah. Tidak berapa lama kemudian, anaknya berjaya melarikan diri dari tangan musuh, dan terus pulang dengan membawa beberapa ekor kambing yang diambil dari kumpulan kambing kepunyaan musuh yang telah menawannya. Maka dengan kepulangan anaknya, gembiralah hatinya serta beruntung dengan mendapat rezeki yang dia tidak sangka-sangka datangnya. Inilah salah satu dari kelebihan atau faedah taqwa dengan sifat sabar.

Orang yang memiliki sifat taqwa, bukan saja dia tidak berani buat maksiat, tidak berani buat mungkar, tidak berani tinggalkan perintah-perintah Allah dan RasulNya, malah orang seperti ini baca atau dengar ayat-ayat Allah dibacakan, atau hadith-hadith Rasulullah dibacakan, dia sudah takut, takut sebenar-benar takut, kerana hati orang bertaqwa sentiasa suci, bersih, terbuka dan mudah menerima hidayah..taqwa ini dia tidak pilih siapa, tidak kira dia mudakah, dia tuakah, dia cantikkah, jika dia miliki sifat taqwa, maka dia memang hebat dan mulia..

Cuba kita amat-amati kisah yang saya bawakan ini..diceritakan ketika imam as-Syafi’e masih remaja, ketika beliau sedang belajar hadith kepada imam Sufyan bin Uyainah, tiba-tiba beliau pengsan lalu rebah ke tanah sebaik saja beliau mendengar sebuah hadith yang dibaca oleh imam Sufyan, hadith mengenai kisah azab di alam akhirat, lalu kedengaran seseorang berkata, “Apakah ibnu Idris sudah meninggal ?” nama sebenar imam as-Syafi’e ialah Muhammad bin Idris as-Syafi’e, lalu imam Sufyan menjawab, “Sekiranya ibnu Idris meninggal, maka meninggalah orang yang paling utama dimasanya”.

Imam As-Syafi’e pengsan apabila mendengar sebuah hadith yang dibaca oleh gurunya itu menunjukkan betapa suci dan bersihnya hati beliau kerana hati yang suci apabila mendengar berita ngeri di akhirat amatlah tersentuh dan boleh membawa kepada pengsan kerana sangat insaf dan terlalu takut..inilah orang bertaqwa, taqwa yang dimiliki ketika usia masih remaja..cuba kita periksa, kita cari apakah remaja kita sekarang ini pengsan kerana takut mendengar ayat-ayat Allah atau hadith-hadith Rasulullah tentang azab seksa neraka dibacakan ? saya berani jamin..tidak ada, tapi saya yakin ada yang pengsan sebab terlalu tergila-gilakan persembahan artis kesayangan mereka..sedih kita pada remaja semacam ini..

Inilah dia taqwa, sifat yang boleh dicapai dengan puasa, puasa yang sebenarnya, bukan calang-calang puasa, puasa main-main tidak akan dapat melahirkan sifat taqwa, kena hayati puasa, sempurnakan puasa, beradab dalam berpuasa, jauhi mungkar dalam berpuasa, barulah kita akan dapat mencapai matlamat berpuasa iaitu Taqwa..

Teman-teman dan saudara-saudaraku yang dirahmati Allah, seperti biasa saya tutup ceramah kali ini dengan bait-bait ini..

Wajib berpuasa di bulan Ramadhan..

Bulan menjanjikan selautan kebajikan..

Harta dan pangkat pasti kita tinggalkan..

Di hadapan Allah, hanya Taqwa menjadi ukuran.

Sekian dulu buat kali ini, semoga kita bertemu lagi, insya-Allah..

والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته..

RAMADHAN DAN PUASA.

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته..بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا وحبيبنا وشفيعنا ومولانا محمد وعلى أله وصحبه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين.

Para pembaca dan saudara teman-temanku yang dirahmati Allah..

Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpahan rahmat, taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan tahun ini, mudah-mudahan Ramadhan kali ini kita akan manfaatkan dengan sebaik-baiknya, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang jika tidak kerana Baginda, kita tidak akan menikmati ketinggian Islam dan merasai kemanisan Iman..

Jika Ramadhan tiba, kita perlu tahu mengenai dua perkara : Ramadhan itu sendiri dan Ibadah Puasa. Allah ciptakan bulan Ramadhan ada dengan kehebatannya, keistimewaannya, kelebihannya, sehinggakan bulan ini digelar Bulan Agung, Bulan Berkat..kenapa ? Saya bawakan sebuah mafhum hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi, Abu as-Syeikh dan ibnu Hibban dari Salman Radhiallahu ‘anhu, katanya : Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah berkhutbah kepada kami di hari terakhir bulan Sya’ban, Baginda bersabda : “Hai sekalian manusia ! Sesungguhnya kamu beroleh suatu bulan yang agung lagi diberkati, bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang mana Allah mewajibkan puasa, beribadah pada malamnya menjadi sunat. Sesiapa yang mendekatkan diri ( kepada Allah ) dengan melakukan amalan-amalan kebajikan ( yang bukan fardhu ), dia diberikan ganjaran seperti orang mengerjakan satu amalan fardhu di bulan lain, dan sesiapa melakukan satu amalan fardhu di dalamnya ( bulan Ramadhan ), dia diberikan ganjaran seperti orang yang menunaikan tujuh puluh ( 70 ) amalan fardhu di bulan lain. Ramadhan merupakan bulan kesabaran, dan kesabaran balasannya Syurga. Ramadhan merupakan bulan bantu-membantu ( bersimpati ), bulan yang menambahkan rezeki bagi orang beriman. Sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, amalannya itu membawa kepada keampunan bagi segala dosanya dan melepaskan dirinya daripada api neraka serta mendapat balasan pahala seperti pahala yang diperolehi oleh orang yang berpuasa tanpa ada sesuatu kekurangan”. Para sahabat bertanya : Ya Rasulullah ! tidakkah semua kami ini boleh memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka ? Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab : “Allah ‘Azza Wa Jalla memberi pahala ini kepada orang yang memberi sebiji kurma atau minuman air atau susu campuran kepada orang yang berpuasa untuk berbuka. Bulan ini permulaannya adalah membawa rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan penghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka..”

Saudara muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah..

Itulah antara sebab agungnya Ramadhan, berkatnya Ramadhan, hebatnya Ramadahan..ya ! betul-betul hebat.. سبحان الله

Hebat sebab ada Lailatul Qadar, hebat sebab ada puasa wajib, hebat sebab ada solat sunat terawih, hebat sebab kalau buat satu amalan kebajikan yang bukan fardhu, pahala macam buat satu amalan fardhu, kalau buat satu amalan fardhu, pahala macam buat 70 amalan fardhu, sebagai contoh, kalau baca al-Quran, satu huruf pahalanya di gandakan sampai 10 kali ganda, itu kalau baca di bulan lain, tapi kalau baca di bulan Ramadhan, maka statusnya sudah seperti satu amalan fardhu.. Ramadhan juga hebat sebab rezeki bertambah, para peniaga ada tambahan untung, orang yang menyungkaikan orang berpuasa dapat pahala seperti orang yang disungkaikannya itu..kalau seorang yang disungkaikannya, maka pahalanya macam pahala seorang itu, ditambah lagi pahala puasa dirinya sendiri, kalau dia sungkaikan 10 orang, 20 orang bahkan sampai beratus orang..bayangkan ganjaran yang bakal diperolehinya.. الله اكبر Sungkaikan orang bukan mesti banyak, bukan mesti beraneka jenis juadah, setakat kemampuan kita, hatta kata Nabi seteguk air atau susu dengan sebiji kurma, itupun dapat ganjaran, tanpa sedikit pun berkurang..

Itu tentang kelebihan Ramadhan, jadi siapa yang tidak boleh berpuasa sebab ada keuzuran syar’ie, jangan hilang semangat, jangan bad mood, jangan anggap tidak dapat kelebihan Ramadhan, sebab kita masih boleh mengambil bahagian dalam bulan Ramadhan dengan amalan-amalan lain yang dibolehkan, kalau si isteri umpamanya, tidak boleh baca al-Quran sebab datang bulan, dia masih boleh baca zikir-zikir, dan dia masih boleh dapat kebajikan dengan hanya melayan suami, menyediakan juadah berbuka atau bersahur untuk suami dan keluarga..bahkan banyak lagi yang boleh dilakukannya..

Saudara-saudara yang dirahmati Allah..

Sekarang kita lihat pula kelebihan puasa secara ringkas..Puasa adalah ibadah yang paling istimewa, puasa juga hebat..apa kehebatan puasa ? Cuba kita perhatikan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, saya bawakan mafhum hadith : Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam : “Segala amalan anak adam dilipat gandakan pahalanya itu sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda, telah berfirman Allah Ta’ala “kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKu dan Akulah yang akan membalasnya kepada orang yang melakukannya itu..”.

Itulah puasa, nampak kehebatannya..Puasa itu hanya Allah yang maha mengetahui akan balasannya, kerana Dia sahaja yang tahu mana satu hamba-hambaNya yang betul-betul berpuasa..itu hanya sebahagian kelebihan puasa yang saya bawakan, bahkan masih banyak lagi kelebihan-kelebihan puasa..Puasa pendinding api neraka, puasa penghapus dosa, doa org puasa mustajab, makbul, puasa ada pintu syurga khas untuknya, hanya orang berpuasa saja boleh masuk, yang lain tidak boleh masuk..bahkan bau mulut orang berpuasa pun diberi keistimewaan, lebih harum di sisi Allah dari haruman kasturi..sebab itu jangan malas puasa, jangan takut puasa, jangan main-main puasa, jangan bangga diri kalau tidak puasa, pelajari dan hayati apa itu sebenarnya puasa, apa yang boleh, apa yang tidak boleh, apa yang makruh, apa yang boleh menghilangkan pahala fadhilat puasa..ini semua kena belajar, wajib tahu semua ini, baru puasa boleh sempurna..

Hebat bukan Ramadhan dan ibadah puasa itu ? maha hebat, maha agung..jangan biarkan Ramadhan itu berlalu tanpa kita ambil kelebihannya..jalani ibadah puasa dengan sepenuh penghayatan, jangan biarkan hari-hari puasa yang kita lalui tapi kita gagal memiliki hikmah puasa itu..inilah yang Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh An-Nasai’e, dan Ibnu Majah : كم من صائم ليس له من صومه إلا الجوع والعطش Mafhumnya : “Berapa ramai orang berpuasa dia tidak memperolehi dari puasanya melainkan hanya lapar dan dahaga”.

Saya akhiri pertemuan untuk kali ini dengan bait-bait ini..

Ramadhan dan Puasa anugerah Ilahi penuh keistimewaan..

Manusia diuji, jangan pernah putus harapan..

Sempurnakan puasa, hidupkanlah Ramadhan..

Pasti tiada kerugian, kelak tidak dikecewakan.

Sekian dulu buat kali ini, semoga kita bertemu lagi, insya-Allah..

والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته.