السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته..بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا وحبيبنا وشفيعنا ومولانا محمد وعلى أله وصحبه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين.
Para pembaca dan saudara teman-temanku yang dirahmati Allah..
Kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpahan rahmat, taufiq, hidayah, ‘inayah serta keizinanNya jua kita masih diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan tahun ini, mudah-mudahan Ramadhan kali ini kita akan manfaatkan dengan sebaik-baiknya, salawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang jika tidak kerana Baginda, kita tidak akan menikmati ketinggian Islam dan merasai kemanisan Iman..
Jika Ramadhan tiba, kita perlu tahu mengenai dua perkara : Ramadhan itu sendiri dan Ibadah Puasa. Allah ciptakan bulan Ramadhan ada dengan kehebatannya, keistimewaannya, kelebihannya, sehinggakan bulan ini digelar Bulan Agung, Bulan Berkat..kenapa ? Saya bawakan sebuah mafhum hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi, Abu as-Syeikh dan ibnu Hibban dari Salman Radhiallahu ‘anhu, katanya : Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah berkhutbah kepada kami di hari terakhir bulan Sya’ban, Baginda bersabda : “Hai sekalian manusia ! Sesungguhnya kamu beroleh suatu bulan yang agung lagi diberkati, bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang mana Allah mewajibkan puasa, beribadah pada malamnya menjadi sunat. Sesiapa yang mendekatkan diri ( kepada Allah ) dengan melakukan amalan-amalan kebajikan ( yang bukan fardhu ), dia diberikan ganjaran seperti orang mengerjakan satu amalan fardhu di bulan lain, dan sesiapa melakukan satu amalan fardhu di dalamnya ( bulan Ramadhan ), dia diberikan ganjaran seperti orang yang menunaikan tujuh puluh ( 70 ) amalan fardhu di bulan lain. Ramadhan merupakan bulan kesabaran, dan kesabaran balasannya Syurga. Ramadhan merupakan bulan bantu-membantu ( bersimpati ), bulan yang menambahkan rezeki bagi orang beriman. Sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, amalannya itu membawa kepada keampunan bagi segala dosanya dan melepaskan dirinya daripada api neraka serta mendapat balasan pahala seperti pahala yang diperolehi oleh orang yang berpuasa tanpa ada sesuatu kekurangan”. Para sahabat bertanya : Ya Rasulullah ! tidakkah semua kami ini boleh memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka ? Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab : “Allah ‘Azza Wa Jalla memberi pahala ini kepada orang yang memberi sebiji kurma atau minuman air atau susu campuran kepada orang yang berpuasa untuk berbuka. Bulan ini permulaannya adalah membawa rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan penghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka..”
Saudara muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah..
Itulah antara sebab agungnya Ramadhan, berkatnya Ramadhan, hebatnya Ramadahan..ya ! betul-betul hebat.. سبحان الله
Hebat sebab ada Lailatul Qadar, hebat sebab ada puasa wajib, hebat sebab ada solat sunat terawih, hebat sebab kalau buat satu amalan kebajikan yang bukan fardhu, pahala macam buat satu amalan fardhu, kalau buat satu amalan fardhu, pahala macam buat 70 amalan fardhu, sebagai contoh, kalau baca al-Quran, satu huruf pahalanya di gandakan sampai 10 kali ganda, itu kalau baca di bulan lain, tapi kalau baca di bulan Ramadhan, maka statusnya sudah seperti satu amalan fardhu.. Ramadhan juga hebat sebab rezeki bertambah, para peniaga ada tambahan untung, orang yang menyungkaikan orang berpuasa dapat pahala seperti orang yang disungkaikannya itu..kalau seorang yang disungkaikannya, maka pahalanya macam pahala seorang itu, ditambah lagi pahala puasa dirinya sendiri, kalau dia sungkaikan 10 orang, 20 orang bahkan sampai beratus orang..bayangkan ganjaran yang bakal diperolehinya.. الله اكبر Sungkaikan orang bukan mesti banyak, bukan mesti beraneka jenis juadah, setakat kemampuan kita, hatta kata Nabi seteguk air atau susu dengan sebiji kurma, itupun dapat ganjaran, tanpa sedikit pun berkurang..
Itu tentang kelebihan Ramadhan, jadi siapa yang tidak boleh berpuasa sebab ada keuzuran syar’ie, jangan hilang semangat, jangan bad mood, jangan anggap tidak dapat kelebihan Ramadhan, sebab kita masih boleh mengambil bahagian dalam bulan Ramadhan dengan amalan-amalan lain yang dibolehkan, kalau si isteri umpamanya, tidak boleh baca al-Quran sebab datang bulan, dia masih boleh baca zikir-zikir, dan dia masih boleh dapat kebajikan dengan hanya melayan suami, menyediakan juadah berbuka atau bersahur untuk suami dan keluarga..bahkan banyak lagi yang boleh dilakukannya..
Saudara-saudara yang dirahmati Allah..
Sekarang kita lihat pula kelebihan puasa secara ringkas..Puasa adalah ibadah yang paling istimewa, puasa juga hebat..apa kehebatan puasa ? Cuba kita perhatikan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, saya bawakan mafhum hadith : Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam : “Segala amalan anak adam dilipat gandakan pahalanya itu sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda, telah berfirman Allah Ta’ala “kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKu dan Akulah yang akan membalasnya kepada orang yang melakukannya itu..”.
Itulah puasa, nampak kehebatannya..Puasa itu hanya Allah yang maha mengetahui akan balasannya, kerana Dia sahaja yang tahu mana satu hamba-hambaNya yang betul-betul berpuasa..itu hanya sebahagian kelebihan puasa yang saya bawakan, bahkan masih banyak lagi kelebihan-kelebihan puasa..Puasa pendinding api neraka, puasa penghapus dosa, doa org puasa mustajab, makbul, puasa ada pintu syurga khas untuknya, hanya orang berpuasa saja boleh masuk, yang lain tidak boleh masuk..bahkan bau mulut orang berpuasa pun diberi keistimewaan, lebih harum di sisi Allah dari haruman kasturi..sebab itu jangan malas puasa, jangan takut puasa, jangan main-main puasa, jangan bangga diri kalau tidak puasa, pelajari dan hayati apa itu sebenarnya puasa, apa yang boleh, apa yang tidak boleh, apa yang makruh, apa yang boleh menghilangkan pahala fadhilat puasa..ini semua kena belajar, wajib tahu semua ini, baru puasa boleh sempurna..
Hebat bukan Ramadhan dan ibadah puasa itu ? maha hebat, maha agung..jangan biarkan Ramadhan itu berlalu tanpa kita ambil kelebihannya..jalani ibadah puasa dengan sepenuh penghayatan, jangan biarkan hari-hari puasa yang kita lalui tapi kita gagal memiliki hikmah puasa itu..inilah yang Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh An-Nasai’e, dan Ibnu Majah : كم من صائم ليس له من صومه إلا الجوع والعطش Mafhumnya : “Berapa ramai orang berpuasa dia tidak memperolehi dari puasanya melainkan hanya lapar dan dahaga”.
Saya akhiri pertemuan untuk kali ini dengan bait-bait ini..
Ramadhan dan Puasa anugerah Ilahi penuh keistimewaan..
Manusia diuji, jangan pernah putus harapan..
Sempurnakan puasa, hidupkanlah Ramadhan..
Pasti tiada kerugian, kelak tidak dikecewakan.
Sekian dulu buat kali ini, semoga kita bertemu lagi, insya-Allah..
والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته.